Friday, August 26, 2011

RaMaDHaN YaNG PeRGi, sYaWaL PuLa KeMBaLi

Dengan nama ALLAH yang MAHA PENGASIH lagi MAHA PENYAYANG, aku menulis...



26 Ogos 2011, malam 27 Ramadhan 1432

Di surau dan masjid, seperti juga tahun-tahun sebelumnya, kadar kehadiran jemaah yang menunaikan solat semakin berkurangan. Kadar kehadiran ‘jemaah’ membeli belah memenuhi pasaraya semakin meningkat, juga tidak berubah daripada tahun-tahun sebelumnya.

Syawal semakin menghampiri, tetapi Ramadhan masih belum pergi. Baki 3 hari ini seolah-olah tidak memberi apa-apa makna kepada umat Islam khusunya di bumi Malaysia ini. Saban tahun, Ramadhan seolah-olah hanya sekadar satu singgahan sementara untuk mengecapi nikmat Syawal. Tidak ubah seperti satu transit untuk seseorang meneruskan perjalanan, sementara menanti perjalanan diteruskan.

Pesta keraian Syawal semakin meriah, tambahan media arus perdana memainkan peranan utamanya mengiklankan promosi demi promosi berkaitan Syawal. Hiburan demi hiburan yang bakal disajikan seawal malam 1 Syawal sudah mula mengiklankan diri, tidak termasuk pelbagai lagi iklan dan promosi di pasaraya dan pusat membeli belah. Semua ini seolah mengajak umat Islam dengan seruan, ‘Ayuh, Syawal semakin hampir, Ramadhan sudah berakhir, mari berhibur dan bersuka ria.’

Tiada larangan dalam Islam untuk berhibur dan bersuka ria. Apatah lagi selepas sebulan berpuasa, bermujahadah melawan nafsu yang bermaharajalela selama 11 bulan lamanya. Tetapi persoalan, layakkah kita untuk bergembira pada 1 Syawal tatkala diri masih insan yang sama? Mujahadahnya kurang. Muhasabahnya kurang. Ibadahnya juga kurang. Pesta ibadah yang sepatutnya ‘diraikan’ sepanjang Ramadhan hanya sekadar menjadi pesta mencari wang (bagi peniaga bazar barangkali) dan pesta mencari makanan dan menghabiskan (kebanyakan kita barangkali).

Tiada niat untuk menghilangkan mood masing-masing untuk beraya. Berayalah, bergembiaralah. Cuma dalam kegembiraan kita handak meraikan Syawal kali ini, jangan kita lupa akan mereka yang masih memerlukan. Zakat fitrah jangan lupa untuk dilaksanakan. Masih ramai orang yang fakir dan miskin di luar sana yang memerlukan bantuan kita. Usah disebut Somalia, Darfour, Palestin, serta beberapa negara umat Islam di luar sana, cukuplah untuk kita mengingati insan se-Malaysia yang tinggal ‘sebumbung’ senegara dengan kita.


Kisah Benar Mereka yang Tidak Berapa Berada

Kisah ini didengari ketika menziarahi ustaz saya awal Ramadhan yang lalu. Sedih, hanya itu yang mampu dikatakan. Biarlah nama beliau dirahsiakan.



Kisah 1:

Seorang pelajar di institut itu, hanya mampu diberi keluarga sekitar RM120 ketika beliau mahu memulakan pengajian. ‘Biasiswa’ yang akan dimasukkan hanya akan tiba sekitar bulan ke-3 beliau di sana.

Ketika dalam kelas, pensyarah meminta pelajarnya melakukan garisan. Si dia hanya melakukan garisan lurus itu tanpa pembaris, kerana beliau ketiadaan pembaris. Pensyarah datang kepadanya dan memarahnya, kenapa pembaris pun tak boleh nak beli. Beliau terkedu. Si pensyarah meminta beliau turun ke koperasi untuk membeli pembaris. Si pelajar ini hanya mampu duduk di situ, tidak berbuat apa. Kerana beliau sedar, RM1 yang beliau belanjakan hari ini untuk ‘benda lain’, bermakna beliau harus mengikat perut untuk tidak menjamah sebutir nasi sekali pon. Kerana hanya RM1 yang mampu dibelanjakan untuk beliau makanan beliau...


Kisah 2:

Beliau nampak seperti pelajar biasa. Namun disebalik kebiasaan beliau, tersirat seribu satu kisah yang hanya Tuhan yang tahu.

Ketika semua pelajar sibuk mengenyangkan perut untuk memenuhi kehendak masing-masing pada tengahari itu, beliau hanya mampu melihat. Satu kali sehari, hanya itu yang mampu beliau belanjakan untuk makanan beliau. Di saat semua lauk hanya tinggal kuah, di saat sayur hanya tinggal baki dan sisa, beliau meneruskan langkah ke kafe untuk menjamu selera. Diambilnya nasi, diceduknya lebihan kuah yang ada, diambilnya sayur. Dia membayar di kaunter, sekadar beberapa ringgit itu dibelanjakan untuk memenuhi perut yang kosong itu. Dan beliau gembira, meskipun itulah juadah harian beliau.

Ketika pensyarah yang prihatin kepadanya berjumpa dengannya, bertanyakan keadaan dirinya, beliau dihidangkan dengan ayam untuk dijamah. Beliau kebingungan. Kerana dari kecil, belum pernah sekali beliau dihidangkan lauk ayam, apatah lagi merasai kenikmatan ayam yang mungkin setiap hari kita rasai itu...


Banyak lagi kisah pahit jerih kehidupan umat Islam di Malaysia ini, cukup sekadar saya kemukakan dua kisah ini untuk renungan kita bersama.


Gambar hiasan

Saat bazar dibuka, ada di antara kita yang segera menyerbu bazar, seolah bazar itu akan hilang jika lewat tiba. Dan dengan rakusnya memilih juadah berupa makanan dan minuman yang dirasakan hendak disentapnya. Ayam diambil, ikan diambil, daging juga diambil. Dengan kuih muih, serta pelbagai jenis air pelbagai warna, semuanya diambil rakus seolah perut itu mampu menghabiskan semuanya. Dua tangan yang dikurniakan itu seolah ingin diminta yang ketiga, hanya untuk membawa juadah untuk berbuka.

Azan maghrib kedengaran. Satu demi satu juadah yang dibelinya dihabiskan. Satu demi satu, tetapi diakhirnya, baki makanan masih banyak tidak termakan. Mengambil mengikut nafsu sedang dia mengetahui badannya tidak mampu untuk menghabiskan semuanya.

Inilah biasanya realiti kebanyakan kita pada hari ini. Tidak pernah merasa cukup dengan apa yang ada. Sedang mereka di luar sana, bertungkus lumus berusaha sedaya upaya, demi sesuap nasi untuk seisi keluarga.

Dimana keprihatinan kita? Mereka juga umat Islam, seaqidah dengan kita. Janganlah kita lupa akan pesanan Nabi mulia:

“Tidak sempurna iman jika kau tidur dalam kekenyangan. Sedang jiran tetangga mu, menangis kerana kelaparan”

Bukankah umat Islam itu bersaudara? =)


p/s: Kepada mereka yang turut sama mendengar kisah pelajar ini sewaktu ziarah tersebut, tolong betulkan andai kisah saya itu ada salahnya. Shukran ala kulli hal...

No comments:

Post a Comment